SULAMAN: Pada hari penamaan calon PRN-17, Dr Shahnon Rizal Thaijudin, calon BN bagi kerusi N.12 Sulaman, menarik perhatian ramai apabila beliau tidak mengira parti dalam memberikan rawatan perubatan, termasuk kepada seorang penyokong parti lawan.
Tindakan beliau yang profesional dan beretika ini menjadi bualan hangat di media sosial serta lapangan, dianggap contoh nyata politik matang di Sabah, di mana kepentingan rakyat diutamakan berbanding perebutan kuasa.
Calon muda itu menekankan bahawa fokus kempen beliau adalah memperbaiki sistem kesihatan negeri.
Beliau mahu menangani isu kekurangan doktor dan jururawat, fasiliti yang terhad, serta hospital yang terlalu terbeban.
“Jika diberi mandat, saya akan tumpukan usaha memperkukuh kesihatan awam Sabah. Sistem semasa perlukan pendekatan tersusun, berani dan berorientasikan reformasi,” katanya.
Tindakan spontan Dr Shahnon membantu penyokong parti lawan bukan sahaja memaparkan imej positif BN, tetapi turut menonjolkan integriti, profesionalisme, dan dedikasi beliau sebagai seorang doktor.
Dalam suasana politik yang panas sepanjang kempen pilihan raya ini, beliau membuktikan bahawa tanggungjawab terhadap kesihatan dan kemanusiaan tidak boleh dipengaruhi oleh politik.










