KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui negara ini akan terkesan dengan tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas.
Jelas lanjut, Anwar memberitahu kesan kepada Malaysia dapat dilihat sekiranya Presiden AS, Joe Biden menyenaraikan Malaysia sebagai negara yang memberikan sokongan terhadap Hamas.
“Kesan itu seandainya RUU itu dikuatkuasakan,” katanya dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bertanyakan soalan ketika Waktu Pertanyaan Menteri mengenai RUU itu berkenaan sekatan terhadap pihak luar menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin.
Jelas Anwar lagi, sebarang sekatan terhadap Malaysia juga mampu mempengaruhi penilaian Kerajaan AS dan syarikat-syarikat AS terhadap Malaysia, serta menjejaskan peluang-peluang pelaburan syarikat AS ke Malaysia.
“Kebarangkalian untuk RUU ini diluluskan di Dewan Negara dengan izin, Senat serta ditandatangani oleh Presiden Joseph Biden adalah tinggi berikutan kebanyakan anggota-anggotanya yang lebih bersifat pro-Israel.
“Untuk makluman Dewan yang mulia juga, RUU yang bertujuan untuk mengenakan sekatan terhadap penyokong kumpulan pengganas Palestin atau dengan izin; to impose sanctions with respect to foreign support for Palestinian terrorism (untuk mengenakan sekatan berkenaan dengan sokongan asing terhadap keganasan Palestin) pernah diluluskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat Amerika Syarikat pada tahun 2021, namun RUU tidak berjaya mendapat kelulusan ahli-ahli Dewan Negara pada waktu tersebut,” jawab Anwar lagi.
Sehubungan itu, kerajaan akan meneliti dan memantau rapat perkembangan dan pelaksanaan RUU ini sekiranya diluluskan.
Malaysia juga kata Anwar akan terus menggesa AS untuk menunjukkan kepimpinan yang berkesan untuk keamanan antarabangsa, serta tegas dalam menghormati undang-undang antarabangsa dan konvensyen yang berkenaan, terutamanya untuk keadilan kemanusiaan.
“Pada masa yang sama, kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencapai kata sepakat dalam memberikan perlindungan kepada rakyat Palestin amatlah mendukacitakan.
“Sehubungan ini, adalah mustahak untuk Malaysia terus mendesak PBB agar perlindungan kepada rakyat Palestin terjamin berdasarkan undang-undang antarabangsa.
“Malaysia juga akan meneruskan perjuangan mendapatkan hak dan usaha memberi perlindungan serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin menerusi perbincangan bersama negara-negara yang sependapat, serta melalui pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti di peringkat Persatuan Negara-negara Asia Tenggara atau ASEAN, Pertubuhan Negara Islam OIC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya lagi.