Timor-Leste Sah Jadi Anggota ke-11 ASEAN

KUALA LUMPUR: Timor-Leste hari ini melakar sejarah baharu apabila secara rasmi menjadi anggota penuh ke-11 ASEAN selepas menyerahkan instrumen penyertaannya ke atas Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Langkah itu disifatkan sebagai detik penting yang mengukuhkan lagi perpaduan serantau serta memperluas keanggotaan ASEAN kepada semua negara berdaulat di Asia Tenggara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata penyertaan Timor-Leste bukan sekadar simbolik, sebaliknya membawa makna mendalam terhadap visi dan semangat kolektif ASEAN.

“Piagam ASEAN bukan hanya sebuah dokumen asas, tetapi nadi kepada visi bersama kita. Dengan penyertaan ini, Timor-Leste melangkah seiring dengan kita, menyatukan aspirasi rakyatnya dalam komuniti ASEAN yang semakin berkembang,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan instrumen penyertaan berkenaan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, hari ini.

Menurut Mohamad, melalui Perjanjian SEANWFZ, Timor-Leste turut menzahirkan komitmen untuk memastikan Asia Tenggara kekal sebagai rantau aman dan bebas daripada ancaman senjata nuklear.

“Langkah ini bukan sekadar formaliti institusi, tetapi bukti kepercayaan mendalam Timor-Leste terhadap idealisme ASEAN serta keyakinan terhadap masa depan bersama yang berteraskan keharmonian, kerjasama dan saling menghormati,” ujarnya.

Timor-Leste yang mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002, mula memohon menjadi anggota ASEAN pada 2011, dan kini secara rasmi disahkan menyertai blok serantau itu selepas lebih sedekad proses penilaian dan persediaan.

Malaysia sebelum ini turut menyumbang US$200,000 kepada Unit Timor-Leste di Sekretariat ASEAN, Jakarta, bagi mempercepat proses keanggotaan penuh negara berkenaan.

Sumbangan itu turut meliputi latihan teknikal melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang setakat ini telah memberi manfaat kepada 319 pegawai Timor-Leste dalam pelbagai bidang.

BBerkaitan

Latest articles