Timbang Pemberian Moratorium Kepada Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mempertimbangkan pemberian moratorium secara menyeluruh untuk tempoh sekurang-kurang enam bulan bagi membantu rakyat yang terjejas akibat bencana banjir di seluruh negara.

Menurut Felo Institut Kajian Analisis Politik Malaysia, Md Shukri Shuib, Kementerian Kewangan wajar menyediakan pemberian moratorium itu bagi memastikan golongan terbabit tidak terbeban dengan masalah kewangan yang dihadapi ketika ini.

Dalam masa yang sama, kerajaan perlu memastikan pemohon menyediakan dokumentasi sebagai bukti mereka adalah mangsa banjir.

“Ini berikutan institusi perbankan mempunyai dana pengukuhan di mana jika mereka menyediakan pemberian moratorium itu, ia tanpa menjejaskan keuntungan institusi perbankan berkenaan,” katanya memetik Bernama, hari ini.

Dalam menghadapi situasi sebegini, Md Shukri menggesa, semua pihak termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), perlu bersama-sama membantu mereka yang terjejas akibat banjir.

Sebagai contoh, beliau berkata, kerajaan boleh menyediakan satu mekanisme baharu, antaranya menyediakan bengkel panel khas untuk membaik pulih kenderaan yang ditenggelami banjir.

“Ini akan membantu mangsa banjir, sekali gus turut memberikan (peluang kepada) sektor automotif untuk berkembang.

“Ia juga akan memberi peluang kepada graduan lepasan bidang automotif untuk menggunakan kemahiran mereka bagi membantu dan membaiki kenderaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles