Timbalan Pengarah DBKL antara 4 ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga penjawat awam dan seorang bekas penjawat awam kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada aktiviti premis perniagaan haram di sekitar ibu negara.

Timbalan Pengarah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusia pertengahan 40-an dipercayai adalah suspek utama disyaki menerima rasuah antara RM100,000 hingga RM500,000 secara bulanan daripada sindiket rumah urut, pusat hiburan serta premis yang tidak berlesen.

Sumber berkata, selain timbalan pengarah terbabit dua lagi penjawat awam yang ditahan adalah anggotanya serta seorang anggota agensi penguat kuasa.

“Ketiga-tiga mereka yang ditahan semalam, direman selama tujuh hari hingga 14 Jun ini manakala seorang suspek yang juga bekas anggota agensi penguat kuasa ditahan reman selama lima hari hingga 12 Jun 2024.

“Perintah reman terhadap semua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an dikeluarkan Majistret Shairil Farhana Ruslan selepas menerima permohonan dibuat SPRM di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi,” katanya.
Sumber berkata, timbalan pengarah terbabit menerima wang rasuah itu sejak beberapa bulan lalu.

“Wang rasuah itu bagi membolehkan premis-premis perniagaan haram berkenaan beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Susulan tangkapan ke atas suspek utama, SPRM kemudian menahan tiga individu lain kerana dipercayai turut menerima suapan dan berperanan sebagai orang tengah bagi mengagihkan wang rasuah kepada beberapa anggota penguat kuasa PBT,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, menerusi tangkapan ini, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000 selain barang kemas dan 28 keping wafer emas yang belum dikenal pasti anggaran nilai dan berat.

Semua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dalam operasi yang diadakan semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap semua suspek berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

BBerkaitan

Latest articles