Teka teki mengenai intipati sidang media Adun Sementta Dr Doroyah yang juga Timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor terjawab sebentar tadi apabila beliau mengumumkan melepaskan jawatan parti yang disandangnya
Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR itu berkata Keputusannya itu kerana beliau sudah hilang kepercayaan kepada parti
” Keputusan ini dibuat kerana saya hilang rasa yakin dan percaya terhadap presiden parti yang alpa tentang idealisme perjuangan serta hala tuju parti, yang kini lebih membawa kepada perpecahan,”
Pada 5 Jun lalu, Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @Jugah anak Muyang mengumumkan keluar parti disebabkan masalah dalaman Pakatan Harapan dan kejatuhan kerajaan gabungan itu susulan peletakan jawatan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad Februari lalu.
Ia menyusul keputusan 2 wakil rakyat di Kedah, Adun Lunas, Azman Nasrudin dan Adun Sidam, Robert Ling yang meninggalkan PKR pada 12 Mei lalu dan menyebabkan kerajaan negeri PH pimpinan Mukhriz Mahathir tumbang.
Ketua Wanita PKR, Haniza Talha digantung keahliannya sejak 6 April lalu atas alasan menghadiri pertemuan dengan bekas pemimpin parti itu, Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin pada Februari lalu.
Azmin dan Zuraida dipecat PKR pada 24 Feb lalu kerana mengkhianati parti dengan terbabit dalam “Langkah Sheraton” yang menyebabkan kejatuhan kerajaan PH.
Hari ini, Daroyah berkata, Anwar dan “pentaksubnya” dilihat gagal menjalankan amanah majoriti ahli yang memilih mereka.
“Saya sendiri menerima notis tunjuk sebab bertarikh 15 Mei kerana usaha mempertahankan barisan kepimpinan Wanita yang dikenakan tindakan tidak adil dan luahan kebimbangan saya tentang pengurusan parti yang sangat kelam-kabut.
“Tidak seperti dahulu, perjuangan PKR sekarang kelihatan bukan lagi untuk agenda reformasi, tetapi untuk mendapatkan kuasa semata-mata.”
Bekas exco Selangor itu berkata, PKR tidak lagi menghargai jasa dan keringat ahli wanita yang sentiasa menjadi jentera utama menggerakkan parti itu selama ini.
“Tidak wujud suasana dinamik serta harmoni. Demokrasi dalam parti sudah mati,” katanya yang melepaskan jawatan ketua Wanita PKR Selangor dan ketua Cawangan Kapar.
Seramai 48 pemimpin Wanita Selangor, ahli majlis perbandaran dan daerah serta pimpinan PKR Cawangan Kapar turut mengikut jejak Daroyah keluar parti.
“Selain hilang keyakinan, kepimpinan Cabang (Cawangan) Kapar juga kabur akan masa depan kami dalam parti, sedangkan pemimpin yang memiliki sokongan majoriti dan lama berjuang dalam parti disingkirkan tanpa alasan munasabah.”
Katanya, beliau lebih selesa menjadi wakil rakyat bebas dan belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti.
Tetapi, beliau menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Katanya, beliau akan menulis surat kepada speaker DUN Selangor untuk memaklumkan peletakan jawatannya.
Daroyah berkata, beliau sudah memaklumkan hasrat dan keputusannya kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari terlebih dahulu.
“Saya sudah berbincang dengan menteri besar. Menteri besar memang tidak bersetuju untuk saya buat langkah ini.
“Tetapi bagi saya, saya harus teguh dengan keputusan saya dan buat keputusan walaupun berat.”