KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Aksyah Nasrah semalam mengumumkan keluar daripada parti itu dan melepaskan semua jawatannya berkuat berkuat serta merta.
Serentak dengan itu juga, beliau menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee bertarikh 28 Dis 2024.
“Peletakan jawatan ini dibuat atas keputusan saya sendiri dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa pun,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama di Kota Kinabalu, pada Isnin.
Susulan keputusannya itu, Aksyah menyatakan sokongan penuh kepada Hajiji yang juga Pengerusi GRS dan perjuangan parti itu, dalam mempertahankan hak-hak dan kepentingan Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.
Katanya, slogan “Rumah Kita, Kita Jaga” sering diungkap Hajiji merupakan satu naratif yang amat tepat dalam memastikan Sabah benar-benar dipimpin dan diurus oleh kepimpinan parti tempatan tanpa menidakkan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan.
Menurutnyta, kejayaan besar Hajiji adalah menyatupadukan pemimpin dan rakyat Sabah melalui satu gabungan wadah politik GRS, dan perpaduan rakyat Sabah ini merupakan perkara pokok yang menjadi teras kepada kemajuan negeri.
“Melalui penyatuan dan gabungan semua parti tempatan yang mewakili majoriti rakyat Sabah, saya yakin dan percaya Hajiji dan GRS mampu membawa negeri Sabah lebih maju dan berjaya dalam semua sektor dan bidang demi kepentingan dan faedah rakyat keseluruhannya,” katanya.