KANGAR: Mahkamah Tinggi menolak rayuan Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya bersama dua lagi pengarah syarikat pelancongan, sekali gus mengekalkan perintah supaya mereka membayar semula RM492,480 wang kutipan tiket penerbangan jemaah umrah kepada sebuah syarikat pelancongan.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah menolak rayuan Ketua UMNO Bahagian Kangar itu bersama Sekh Fazzli Sekh Ruzi dan Wan Azizul Wan Yusoff.
Mereka turut diarahkan membayar kos sebanyak RM20,000.
Ketiga-tiganya merupakan pengarah Rehla Travel Services Sdn. Bhd. yang disaman oleh KRS Travel Sdn. Bhd. bagi mendapatkan semula wang hampir RM500,000 yang dikutip untuk pembelian tiket penerbangan umrah.
Hakim Leong Wai Hong dalam penghakimannya menyifatkan tindakan mereka sebagai menyedihkan kerana wang yang sepatutnya digunakan untuk urusan ibadah telah digunakan bagi tujuan peribadi.
Mahkamah mendapati ketiga-tiga perayu mengaku menggunakan wang tersebut tetapi gagal memulangkannya walaupun diminta.
Hakim menegaskan tiada mana-mana mahkamah akan membenarkan seseorang menikmati keuntungan hasil penipuan.
Mahkamah turut bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen sebelum ini bahawa wujud unsur penipuan apabila wang RM492,480 tidak dipulangkan kepada pihak yang berhak.
Dalam prosiding, mahkamah turut dimaklumkan bahawa ketiga-tiga pengarah berkenaan memohon untuk membatalkan nama Rehla daripada daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Seksyen 550 Akta Syarikat, dipercayai bagi menghalang tindakan undang-undang diteruskan.
Syarikat itu kini tidak lagi beroperasi.
Kes bermula apabila KRS Travel menggunakan khidmat Rehla pada Februari 2020 untuk membeli tiket penerbangan ke Madinah dan Jeddah bagi jemaah umrah.
Rehla ketika itu merupakan ejen tiket Malaysia Airlines sejak 2019.
Susulan pandemik Covid-19, penerbangan dibatalkan dan Malaysia Airlines kemudian membayar kira-kira RM1.3 juta kepada Rehla sebagai penyelesaian, termasuk jumlah RM492,480 milik KRS Travel.
Namun wang tersebut tidak dipulangkan kepada pihak yang sepatutnya, mencetuskan tindakan saman.
Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi, ketiga-tiga mereka telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 8 Januari lalu.










