Tiga Suspek Ditahan Kes Mesin ATM Emas di Taman Permata

AMPANG JAYA: Polis berjaya menahan tiga individu yang dipercayai terbabit dalam kes melarikan mesin pengeluaran automatik (ATM) emas di sebuah pasar raya di Taman Permata pada 23 November lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata penahanan dilakukan selepas siasatan ke atas laporan seorang pegawai pemasaran yang mendakwa mesin ATM emas di lokasi tersebut ditarik keluar oleh beberapa individu.

“Pengadu menerima panggilan sekitar jam 9.50 pagi memaklumkan mesin ATM emas di pasar raya itu dibawa keluar. Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati mesin berkenaan sudah dikosongkan sebelum kejadian, dengan nilai kerugian dianggarkan RM60,000,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya Operasi khas dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bermula 26 November hingga Sabtu lalu berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 41 tahun di sekitar Kuala Lumpur dan Kajang.

“Polis turut merampas dua telefon bimbit, beberapa pakaian, dan sebuah lori yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” jelas Mohd Azam.

Hasil saringan mendapati seorang daripada suspek positif dadah, manakala seorang lagi memiliki 54 rekod jenayah lampau serta tiga rekod dikehendaki berkaitan jenayah dan narkotik.

Modus operandi kumpulan ini ialah menyasarkan mesin ATM emas di pasar raya, dengan menggunakan lori dan mengupah pemandu untuk membawa mesin tersebut keluar.

Tambah Mohd Azam lagi, dua daripada suspek yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala seorang lagi direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Polis mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.

BBerkaitan

Latest articles