Kuala lumpur – Tiga persatuan utama industri pelancongan hari ini menyatakan kekesalan atas kontroversi yang timbul susulan penghidangan minuman beralkohol pada majlis makan malam sempena Global Travel Meet (GTM) 2025 yang diadakan pada 1 Oktober lalu.
Dalam kenyataan bersama, Malaysian Indian Travel & Tours Association (Mitta), Malaysian Inbound Chinese Association (Mica) dan Malaysia My 2nd Home Consultants Association (M2HCA) menjelaskan majlis makan malam itu dianjur dan dibiayai sepenuhnya oleh pemain industri pelancongan, bukannya oleh Tourism Malaysia atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Mitta, Mica dan M2HCA memahami sepenuhnya kontroversi yang timbul daripada majlis makan malam tersebut dan dengan ikhlas melahirkan kekesalan kami kepada kementerian dan Tourism Malaysia, khususnya kepada Menteri Datuk Seri Tiong King Sing,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyebut GTM 2025 telah menjana impak ekonomi berjumlah lebih RM420 juta, selain berjaya menghimpunkan lebih 600 pembeli antarabangsa dan lebih 100 media antarabangsa, menjadikannya acara pelancongan global yang dianggap ‘membanggakan’ untuk Malaysia.
Ketiga-tiga persatuan itu menegaskan penjelasan tersebut dibuat untuk menangkis maklumat yang disifatkan sebagai “tidak bertanggungjawab” dan “mengelirukan” mengenai majlis makan malam itu.
Kontroversi bermula selepas Ahli Parlimen Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, memuat naik video di Facebook pada Sabtu lalu mempersoalkan penghidangan arak pada acara yang dikatakan dianjurkan kerajaan, dengan menyifatkannya bercanggah dengan norma budaya dan Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa majlis makan malam itu bukanlah anjuran kerajaan, sebaliknya dikendalikan rakan kongsi sektor swasta bagi meraikan acara perjalanan global pertama seumpamanya di Malaysia.
Tiong turut menjelaskan bahawa meskipun Tourism Malaysia pada awalnya terlibat sebagai penganjur bersama, pihak swasta mengambil alih sepenuhnya penganjuran majlis makan malam selepas melihat peluang untuk memeterai perjanjian perniagaan yang signifikan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO akan membangkitkan bantahan terhadap penghidangan arak tersebut dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang akan datang.