BALING: Malaysia sekali lagi digemparkan dengan masalah sosial remaja, dimana terbaru empat remaja termasuk tiga pelajar sebuah sekolah menengah di negeri ini ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes rogol secara berkumpulan serta penyebaran video lucah di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Mat Ali berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 53 tahun pada jam 11 pagi, Ahad lalu selepas dimaklumkan guru disiplin sekolah mengenai penularan video bogel melibatkan anaknya.
Bertindak atas maklumat itu, polis menahan empat remaja termasuk tiga pelajar dan seorang bekas pelajar sekolah sama pada jam 9.30 malam hari sama bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati keempat-empat suspek terbabit dalam beberapa kejadian rogol, termasuk secara berkumpulan, yang berlaku antara Mei hingga Ogos lalu di beberapa lokasi sekitar kawasan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, semua suspek direman selama lima hari bermula tarikh tangkapan, manakala enam telefon bimbit turut dirampas bagi tujuan siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol berkumpulan serta Akta Kanak-Kanak berkaitan penghantaran bahan pornografi membabitkan kanak-kanak.
“Polis memandang serius kejadian ini dan menasihatkan ibu bapa serta penjaga agar lebih peka terhadap pergerakan serta aktiviti anak-anak, khususnya dalam kalangan remaja,” tegasnya.