BATU PAHAT: Mahkamah Syariah di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 terhadap tiga lelaki selepas mengaku bersalah terbabit dalam upacara pemujaan tarian kuda kepang yang tular baru-baru ini.
Ketiga-tiga tertuduh ialah pengawal keselamatan, Muhammad Suhail Suttrysono, 35, serta dua mekanik, Azman Mohamer Seh, 45, dan Anuar Bandi, 40.
Mereka membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Syazwan Mohd Yusof.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Suhail didakwa melakukan upacara bertentangan dengan hukum syarak, manakala Azman dan Anuar disabitkan kesalahan bersubahat dengan memainkan alat muzik untuk tujuan sama.
Kesalahan itu dilakukan di kawasan lapang hadapan sebuah rumah di Jalan Pasar, Parit Raja, antara pukul 10 malam hingga 1 pagi pada 10 dan 11 Ogos lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana kesalahan berhubung aqidah: pemujaan salah, serta Seksyen 43(b) enakmen sama kerana persubahatannya.
Kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Daerah Batu Pahat, Ummu Salamah Sukayat.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 terhadap setiap tertuduh. Sekiranya gagal membayar denda, hukuman penjara ditambah 14 hari.
Mereka juga akan dipantau oleh Jabatan Agama Islam Johor selama enam bulan selepas selesai menjalani hukuman.
Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi seminit memaparkan ritual dipercayai berkaitan tarian kuda kepang di daerah itu yang mengaitkan amalan syirik.
Rakaman menunjukkan sekumpulan lelaki dan wanita berkumpul sambil diiringi paluan gong dan muzik tradisional, selain kelihatan dua lelaki dipercayai mengalami kerasukan.