KUALA LUMPUR: Mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan malam tadi bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa dengan fungsinya masing-masing, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tiga jawatankuasa itu adalah Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya dan Jawatankuasa Agenda Kerajaan dan Politik.
Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menjelaskan Jawatankuasa Pilihan Raya akan menumpukan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
“Jawatankuasa ini tentunya akan membincangkan PRN terutama pembahagian kerusi dan menumpukan kegiatan untuk memastikan kita mempunyai tapak kukuh untuk menghadapi PRN.
“Di dalam Jawatankuasa PRN ada termasuk strategi komunikasi kerana kita kadang-kadang berdepan dengan kenyataan-kenyataan fitnah melampau.
“Jawatankuasa ketiga adalah Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik yang mengambil kira pandangan manifesto yang dikemukakan dan dasar yang juga melibatkan kos sara hidup dan kerjasama di antara semua kaum dan negeri,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Sekkretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn malam tadi.
Sementara itu, Jawatankuasa Pilihan Raya bakal diketuai oleh Pengarah Pilihan Raya parti yang akan diumum kelak.
Dalam masa yang sama, katanya, mesyuarat pada malam ini turut bersetuju struktur pimpinan sekretariat untuk bersidang setiap bulan dan dalam beberapa minggu ini.
“Saya ucap terima kasih mereka berikan persetujuan untuk saya pengerusikan dan ketua-ketua parti gabungan jadi timbalan pengerusi dan pimpinan naib jadi pimpinan naib pengerusi.
“Kemudian sekretariat diketuai oleh Setiausaha Agung iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhilah Yusof dan Ketua Sekretariat, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi dan pimpinan parti lain dilantik menganggotai majlis pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan,” jelasnya.
Sementara itu, Anwar berkata, perihal pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah bidang kuasa sultan dan menteri besar setiap negeri.
Bagaimanapun, katanya, Jawatankuasa Pilihan Raya bakal memuktamadkan perkara berkaitan pembahagian kerusi.
“Itu kerajaan negeri dan sultan masing-masing akan selesaikan saya tidak boleh boleh mewakili menteri besar dan sultan,” tambahnya.