Tiga Anggota SAR Tanah Runtuh Tidak Dapat Teruskan Tugas, Alami Kecederaan

BATANG KALI: Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, mengesahkan tiga anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Jalan Batang Kali mengalami kecederaan dan maslaah kesihatan.

Suffian berkata, ketiga-tiga mereka itu tidak dapat meneruskan tugas SAR termasuk seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terkehel pada bahagian kaki, dan dikejarkan ke hospital, semalam.

“Bagaimanapun, keadaan beliau dilaporkan stabil dan sudah pun dibenarkan keluar dari hospital dan kini sedang berehat.

“Dua lagi anggota SAR yang turut tidak dapat meneruskan tugas adalah seorang anggota bomba dan juga Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis kerana kedua-duanya mengalami masalah kesihatan,” katanya pada sidang media di lokasi tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Norazam dikejarkan ke Hospital Selayang kira-kira jam 6 petang semalam berikutan mengalami keletihan dan minor stroke atau angin ahmar ringan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai operasi SAR hari kelima hari ini, Suffian berkata operasi disambung semula pada jam 8 pagi tadi dilaksanakan 115 anggota SAR daripada pelbagai agensi.

“Sebanyak 11 unit jentera pengaut digunakan pada hari ini dibantu dua Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM akan menyambung pencarian hari ini selepas pencarian pada hari ketiga dan keempat semalam gagal menemui mangsa baharu.

“Ini termasuk pencarian di lima ‘hot spot’ yang dipercayai ada dikesan objek, semalam namun setakat ini masih negatif,” katanya.

 

BBerkaitan

Latest articles