Tidak Pernah Beri Jaminan Gugur Kes Mahkamah Mana-mana Pemimpin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah memberi jaminan kepada mana-mana pihak untuk membebaskan mereka dari kes mahkamah.

Beliau berkata, ia hanya boleh dilakukan sekiranya individu-individu terbabit dilepaskan daripada pertuduhan oleh hakim yang adil dan saksama.

“Saya tidak pernah beri jaminan kepada sesiapa menyatakan untuk kita lepas daripada hukuman sekiranya diputuskan oleh hakim yang bebas dan adil.

“Kalau saya mahu kompromi, saya sudah jadi perdana menteri bertahun-tahun dahulu,” katanya berucap di dalam Program Pertemuan Mahabbah bersama ulamak dan asatizah di Kompleke Seri Perdana.

Rakyat kini sedang melihat kes mahkamah membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang dalam peringkat membela diri terhadap dakwaan kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM17.9 juta.

Pada September lalu, Timbalan Perdana Menteri itu dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Dalam pada itu, Anwar sudah menemui semua pihak berkuasa untuk menyatakan pendirian tegas itu termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

“Begitu juga kebebasan, profesionalisme badan-badan penguatkuasaan, saya ada beberapa pertemuan SPRM, Peguam Negara dan lain-lain institusi yang memberikan gesaan yang sama,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu mahu membuktikan ada orang Melayu dan anak Melayu yang menggunakan kuasanya untuk menjaga dan membela nasib rakyat terbanyak.

“Saya nak buktikan bahawa orang yang percaya kepada Islam itu dihormati dan diyakini kerana prinsip rahmah dan keadilan yang ditegakkan,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles