KUALA LUMPUR: Kenyataan terbaharu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mencuri perhatian apabila beliau memberi bayangan seolah-olah sudah sampai masanya untuk berundur, sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan penyokong dan pemerhati politik.
Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menyatakan segala usaha dan pandangan telah disampaikan sebaik mungkin, namun mengakui kelemahan mungkin berpunca daripada dirinya sendiri.
“Kita sudah usaha sehabis baik, kita dah sampaikan sehabis baik. Mungkin kelemahan datang dari diri saya sendiri. Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri.
“Terima kasih atas suara-suara anda semua yang sayangkan perjuangan ini.
“Saya percaya jika niat kita baik demi agama,bangsa dan tanah air. Insya-Allah waktunya akan sampai jua,” katanya.
Dr. Akmal turut menzahirkan penghargaan kepada pihak yang terus menyokong perjuangan tersebut, sambil menegaskan niatnya kekal demi agama, bangsa dan tanah air.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan maksud sebenar pengunduran yang dimaksudkan sama ada melibatkan kedudukan dalam parti, peranan politiknya atau jawatan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka, di mana beliau kini memegang jawatan Exco.
Terdahulu, Dr. Akmal antara pemimpin Pemuda UMNO yang lantang menggesa parti itu menilai semula penglibatan dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk menganjurkan Konvensyen Khas Pemuda UMNO pada Sabtu lalu.
Namun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam menegaskan pendirian parti untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.










