KUALA LUMPUR – Aktivis, Tian Chua, mendesak pihak pengurusan Suria KLCC memohon maaf secara terbuka susulan kekecohan melibatkan kumpulan pro-Palestin di pusat beli-belah itu baru-baru ini.
Dalam kenyataannya, bekas Ahli Parlimen Batu dari PKR itu berkata kekecohan tercetus apabila beberapa peserta perhimpunan anti-Donald Trump yang sudah bersurai dihalang memasuki kompleks tersebut hanya kerana memakai lencana, keffiyeh, membawa bendera dan plakad pro-Palestin.
Menurut beliau, tindakan pengawal keselamatan yang mendakwa simbol berkaitan Palestin tidak dibenarkan sama sekali adalah sesuatu yang bersifat diskriminasi dan sewenang-wenang.
“Menghalang orang masuk hanya kerana pakaian atau simbol adalah tingkah laku diskriminasi yang tidak boleh diterima,” katanya.
Tian Chua menjelaskan, beliau sendiri tidak berniat memasuki pusat beli-belah itu, namun tampil selepas dimaklumkan peserta lain dihalang di pintu masuk.
Katanya lagi, keadaan menjadi tegang apabila seorang pengawal keselamatan cuba merampas bendera Palestin daripada seorang wanita yang sedang menuju ke tandas.
Beliau mengambil bendera berkenaan dan menawarkan diri untuk membawanya keluar, namun mendakwa beberapa lelaki lain cuba merampasnya dengan kasar.
“Saya malah cadangkan supaya bendera itu dicabut dari kayunya, tetapi pengawal tetap cuba merampas dengan kekerasan, sampai sanggup menolak,” jelasnya.
Semalam, Suria KLCC dalam kenyataan rasmi mempertahankan tindakannya dengan menyatakan larangan membawa kayu bendera adalah sebahagian daripada peraturan keselamatan untuk semua pengunjung, tanpa sebarang kaitan dengan pendirian politik.
Namun, Tian Chua menegaskan insiden itu perlu disiasat secara telus, selain mendesak pihak pengurusan menyemak semula protokol keselamatan mereka yang disifatkan ‘amat membimbangkan’.
Beliau turut menuntut permohonan maaf rasmi kepada peserta yang terlibat dan orang awam, sambil menegaskan isu itu bukanlah cubaan mengadakan demonstrasi, tetapi berpunca daripada tindakan keterlaluan pengawal keselamatan.