PULAU PINANG: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar Tian Chua yang bertanding atas tiket Bebas di Parlimen Batu sebagai satu tindakan tidak bijak seorang reformis.
Anwar berkata, seharusnya bekas Naib Presiden PKR itu sedar akan perlembagaan parti dan tahu akan akibatnya jika berbuat demikian.
Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendedahkan Tian Chua ada memaklumkan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Dia (Tian Chua) ada memberi bayangan untuk bertanding PRU15 dan saya nasihat kerana perlembagaan parti jelas bahawa dia akan terlucut jawatan serta merta.
“Dia nyatakan kepada saya sepintas lalu dan itu adalah keputusan tak bijak sebagai seorang reformis,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Bayan Baru di Astaka Desa Mayang, Bukit Gedung, hari ini.
Media semalam melaporkan Tian Chua secara automatik dipecat daripada PKR berikutan tindakannya bertanding atas tiket Bebas di kerusi Parlimen Batu pada PRU15.
Anwar, dalam reaksinya terhadap Tian Chua meluahkan rasa kecewa dengan tindakan reformis parti itu dan menegaskan adalah tidak wajar memilih haluan itu dengan membelakangi keputusan parti.