Tiada Yang Pasti Tentang Tarif Trump, Selain Ketidakpastian – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyuarakan kebimbangan terhadap ketidaktentuan dasar tarif Amerika Syarikat (AS), susulan perubahan terbaharu yang diumumkan negara itu.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Tengku Zafrul menegaskan bahawa ketidakpastian yang ditimbulkan oleh dasar tarif AS, khususnya terhadap China, menuntut perhatian segera daripada negara-negara ASEAN.

“Tiada yang pasti tentang tarif Trump, selain ketidakpastian!” kata beliau, merujuk kepada perubahan dasar tarif yang kini menyaksikan peningkatan tekanan ke atas China, walaupun penangguhan dikenakan terhadap negara-negara lain.

Menurut beliau, perubahan ini bakal menjadi antara topik utama yang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN yang dipengerusikan oleh Malaysia pagi ini.

Malaysia, ujar beliau, kini sedang giat menilai implikasi daripada perubahan tersebut, sambil menegaskan komitmen negara untuk terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dalam mengurangkan gangguan kepada perdagangan serantau, serta memperkukuh daya tahan ekonomi rantau ini.

“Perpaduan ASEAN dan integrasi ekonomi serantau akan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini,” katanya sambil menyeru sokongan daripada rakan dagang global yang berkongsi visi yang sama.

Beliau turut mengulangi pendirian Malaysia sebagai rakan perdagangan dan pelaburan yang terbuka kepada semua negara, termasuk AS dan China, serta komitmen negara untuk mencari penyelesaian yang saling menguntungkan dalam isu-isu perdagangan yang berbangkit.

Sebagai langkah strategik menghadapi ketidaktentuan ini, Malaysia akan terus mempelbagaikan pasaran eksport, memperdalam hubungan dengan rakan dagang sedia ada, serta meneruskan agenda pembaharuan ekonomi bagi memastikan daya saing negara kekal utuh.

“Keutamaan kami adalah untuk mengharungi landskap yang sentiasa berubah ini sambil melindungi kemakmuran ekonomi negara kita,” tegas beliau.

BBerkaitan

Latest articles