Pujian seharusnya diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam tempoh singkat berjaya mengajak pembangkang menjadi ‘rakan’ dalam usaha membina kestabilan dan keamanan negara tanpa gaduh-perang politik.
Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai pada Isnin merupakan ‘sejarah penting’ bagi negara, malah terutamanya bagi kedua-dua pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Lebih penting sekali, kesediaan PH berjabat tangan dengan kerajaan untuk menegaskan persefahaman pihak pembangkang untuk menolak jika tiada rundingan.
Situasi ini langsung tak kelihatan sepanjang Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri selama 17 bulan yang lalu.
“Apa yang dilakukan oleh Bera (Ismail Sabri) berbeza. Dia menang walaupun majoriti sangat kecil tetapi sekurang-kurangnya dia terus ambil pendekatan panggil kita (pembangkang),” demikian menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seru Anwar Ibrahim pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson m menjelaskan apa yang dikemukakan Muhyiddin berbentuk perjanjian kepercayaan dan bekalan (CSA) yang menuntut pembangkang menyokong dan mengabsahkan kerajaan – yang amat difahami oleh semua pihak bahawa ‘amat sukar’ untuk PH menuruti kehendak ini.
Bukankah pelawaan Ismail Sabri ini selari dengan gagasan “Keluarga Malaysia”?
MoU itu merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.
Yang pasti, ia harus disokong oleh kesemua pihak, baik mereka yang berada di dalam dan di luar parti, dan rakyat secara keseluruhannya.
Ini juga satu petanda baik buat Malaysia untuk keluar dari kesendatan ekonomi-sosial-politik yang melanda negara sejak beberapa tahun ini, malah lebih memburuk apabila pandemik COVID-19 melanda dunia.
Ismail Sabri telah meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin negara yang mempunyai wawasan dan berhati besar – bukan hanya memandang Anwar dan rakan-rakannya sebagai musuh dan lawan – namun ada kalanya perlu diajak bersama untuk bersahabat demi rakyat dan negara.