KUALA LUMPUR: Spekulasi berkenaan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terjawab hari ini apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak menyebut sebarang usul berkaitan dalam pemasyhuran Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15.
Sebaliknya, sidang kali ini bakal memberi tumpuan kepada beberapa agenda penting negara termasuk perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) dan usul berkaitan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Antara urusan yang dijangka dibahas termasuk Laporan Ketua Audit Negara Siri 2/2025 serta Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM,” kata Johari ketika membuka tirai sesi Dewan Rakyat pagi ini.
Johari turut memaklumkan bahawa Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA) telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sekali gus memulihkan autonomi Parlimen Malaysia yang sekian lama dinanti-nantikan.
“Ia memperkukuh prinsip pemisahan kuasa dan memperkasakan demokrasi negara. Saya ucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang menyokong pelaksanaan PSA,” katanya.
Sesi kali ini dijadual berlangsung selama 24 hari bermula hari ini sehingga 28 Ogos, dan menurut Johari, sidang Dewan Rakyat kali ini dijangka berlangsung sehingga lewat malam bagi menampung jumlah urusan yang padat.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pembangkang supaya mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat jika benar mereka mahu mengambil alih pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Kalau ada majoriti, silakan. Saya sedia menerima apa jua keputusan,” katanya pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi.