Tiada Usaha Singkir Hadi, Kata Pemimpin PAS

Pemimpin PAS Nafi Gerakan Singkir Hadi

Tular di media sosial sejak minggu lalu adalah mesej dan dakwaan wujudnya usaha menjatuhkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang digerakkan oleh orang dalam parti itu sendiri.

Spekulasi itu dilaporkan oleh akhbar berbahasa Melayu, Sinar Harian, beberapa hari ketika Hadi dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana sesak nafas pada 16 Februari lalu.

Kononnya spekulasi itu berkaitan dengan hala tuju PAS untuk memilih sama ada bersama UMNO atau BERSATU dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

PAS menjadi sebahagian kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan dalam masa yang sama memeterai kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Sinar Harian melaporkan penyebaran rakaman audio perbualan di antara Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkait isu berkenaan.

Hashim, bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan mencabar untuk pihak yang menuduh untuk mendedahkannya, jika benar.

“Audio apa yang dimaksudkan? Tidak ada audio seperti didakwa, saya nafikan apa yang disebarkan itu,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Beberapa pemimpin PAS lagi turut menafikan gerakan berkenaan, yang disifatkan sebagai ‘permainan musuh’.

Selain Hashim, turut menolak spekulasi itu adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Begitu juga tindakan sama diambil Pesuruhjaya PAS dari empat negeri – Terengganu, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Terbaru, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu bahawa semua khabar angin itu tidak betul.

“Maaf, tak ada isu pun. Cerita tak betul,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles