KUALA LUMPUR: Hanya selepas laporan awal dari Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dibentangkan, polis buat masa ini mengklasifikasikan nahas pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang mengorbankan 10 nyawa dalam kejadian pada 17 Ogos lalu di Elmina Central Park sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Perkembangan itu diumumkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, sambil menambah kematian dua kru pesawat, enam penumpang termasuk Exco Pahang Datuk Seri Johari Harun dan dua orang awam itu diklasifikasikan sebagai kemalangan udara.
Ujar Hussein, sbarang perkembangan lanjut adalah bergantung kepada laporan awal dari Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) yang dijangka siap dalam masa sebulan lagi.
“Selepas menerima keputusan laporan siasatan awal BSKU itu nanti, barulah kita akan memikirkan mengenai tindakan lanjut polis (aspek siasatan).
“Siasatan polis tertumpu ke arah kematian dan pengecaman indentiti mangsa manakala kemalangan udara melibatkan Biro Kemalangan Udara.
“Adalah pengetahuan umum bahawa sebarang perkara berkaitan aktiviti jenayah jatuh di bawah bidang kuasa polis,” katanya kepada dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen hari ini.
Dalam pada itu Hussein juga memaklumkan polis turut dipersoal oleh beberapa waris dan ahli keluarga mangsa nahas yang membangkitkan sama ada wujud unsur khianat dalam kemalangan itu.
“Jawapan saya semalam adalah sangat jelas yang mana ia satu pengetahuan umum bahawa polis akan menyiasat jika ada sebarang unsur khianat.
“Tetapi setakat ini, kita tidak melihat perkara itu (unsur khianat) selain sebagai kemalangan udara.
“Kita tunggulah hasil laporan penuh BSKU yang masih menyiasat insiden itu bagi mengetahui puncanya dan Perakam Suara Kokpit pesawat nahas yang sukar dibaca oleh pihak berkuasa Singapura sudah dirujuk ke pihak pengilang di Amerika Syarikat, biar kita tunggu semua hasil siasatan ini sebelum memikirkan tindakan lanjut dari pihak polis.
“Ada spekulasi berhubung unsur jenayah dan sebagainya, perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ia hanya akan menggusarkan keluarga mangsa.
“Saya nasihatkan kepada awam sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan nahas itu sila terus salurkan segera kepada polis untuk siasatan lanjut, itu sebaiknya,” katanya.
Berhubung penyebaran video tular membabitkan nahas berkenaan, polis sehingga kini tidak membuat sebarang tangkapan.
“Namun, setakat ini seramai tiga individu yang memiliki perakam papan pemuka kereta (dashcam) telah dipanggil dan selesai dirakam keterangan membantu siasatan) dan kita mengalu-alukan mana-mana pihak lagi yang memiliki bahan itu agar tampil memberi kerjasama kepada kami,” kata Hussein lagi.