Seremban: Polis telah melengkapkan siasatan berhubung kejadian murid maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai, pada 27 Sept lalu, dengan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan terperinci mendapati insiden itu merupakan kemalangan dan tiada unsur jenayah atau penglibatan mana-mana pihak dikesan.
“Sebelum ini kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. Siasatan kemudian diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum ia dikategorikan sebagai NFA.
“Daripada siasatan, kami berpuas hati bahawa kes itu adalah satu kemalangan,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Pada 27 Sept lepas, seorang murid Tahun Tiga dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah berkenaan.










