Tiada Unsur Jenayah Dalam Kematian Dua Beranak Yang Ditemui Mereput

GEORGE TOWN: Polis mengesahkan kematian seorang wanita tempatan bersama anak perempuannya yang berusia dua tahun sebagai kes kematian mengejut tanpa sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil bedah siasat di Hospital Pulau Pinang mendapati tiada sebarang kecederaan luaran atau dalaman yang mencurigakan pada tubuh kedua-dua mangsa.

“Pemeriksaan juga menunjukkan organ dalaman telah mereput tetapi tiada tanda-tanda kecederaan mencurigakan.

“Oleh itu kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada siasatan lanjut setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Rozak, kedua-dua mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih dua minggu lalu sebelum mayat mereka ditemui dalam keadaan reput.

Semalam, media melaporkan penemuan menyayat hati itu selepas bau busuk dari sebuah unit di tingkat sembilan apartmen berkenaan menimbulkan rasa curiga penduduk.

Polis menerima panggilan pada jam 4.41 petang dan bersama bantuan pasukan bomba, pintu rumah berjaya dibuka yang ketika itu berkunci dari dalam.

Pemeriksaan kemudian menemukan mayat wanita berusia 40 tahun bersama anak perempuannya yang baru berusia dua tahun di dalam rumah tersebut.

BBerkaitan

Latest articles