Tiada Undi Belah Bahagi Kerana Setuju Dengan Peruntukan Kerajaan – DAP
Menyedari wujudnya rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli dan penyokong, Ketua Parlimen DAP, Anthony Loke Siew Fook mengaku bertanggungjawab sepenuhnya memberikan arahan kepada Ahli-ahli Parlimen parti itu supaya tidak bangun meminta undi belah bahagi ketika pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat petang semalam.
Anthony berkata arahan itu dibuat selepas mendapat pesanan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya memohon maaf secara terbuka sekiranya saudara dan saudari merasakan keputusan ini adalah satu keputusan yang salah.
“Saya hanya boleh menjanjikan bahawa semua Ahli Parlimen DAP akan pastikan bahawa mulai Isnin depan.
“The fight will go on”,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Dakwa Anthony, jika undi belah bahagi dilakukan semalam, pastinya pihak kerajaan akan menuduh mereka menolak saranan Yang Di-Pertuan Agong supaya menyokong Belanjawan 2021.
“Mereka akan tuduh Pakatan Harapan ingkar kepada nasihat Yang di-Pertuan Agong, tidak mahu gaji kakitangan awam dibayar, tidak menyokong bantuan kepada golongan B40, menyekat elaun hidup untuk petani dan nelayan.
“Mereka akan memainkan sentimen rakyat dengan pelbagai tuduhan tersebut,” katanya.
Ahli Parlimen Seremban itu turut menambah, keputusan tidak mengundi untuk belah bahagi diambil kerana pembangkang tidak menolak keseluruhan Belanjawan tersebut.
Ujarnya ada beberapa perkara yang dipersetujui oleh pihak pembangkang seperti pembayaran gaji untuk kakitangan awam, elaun khas untuk frontliners dan bantuan tunai kepada rakyat.
Begitu juga dengan subsidi gaji untuk majikan, peruntukan untuk pengangkutan seperti MY30 dan lain-lain peruntukan yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Namun, banyak juga peruntukan yang kita tolak seperti peruntukan RM85 juta untuk JASA, pemotongan peruntukan untuk pelbagai jenis aliran sekolah dan isu-isu lain yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang,” katanya.
Sehubungan itu pembangkang akan membantah peruntukan lain yang tidak dipersetujui menerusi peringkat jawatankuasa kementerian masing-masing.
“Contohnya, kita akan minta undi belah bahagi untuk tolak belanjawan Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana JASA merupakan agensi di bawah kementerian tersebut,” katanya.
Sesi perbahasan Dewan Rakyat pada Isnin ini akan memasuki peringkat Jawatankuasa di mana perbelanjaan untuk setiap kementerian perlu dibahaskan secara terperinci dan diluluskan.
“Mulai Isnin depan, setiap hari ada peluang untuk undi belah bahagi dipanggil oleh sekurang-kurangnya 15 Ahli Parlimen,” katanya