Tiada Siapa Harus Pertikai Peruntukan Mutlak Yang Termaktud Dalam Perlembagaan Perseketuan – PM

PUTRAJAYA: Masalah dihadapi negara ini tidak membabitkan kaum atau perbezaan budaya dan agama, sebaliknya syak wasangka serta permusuhan yang menjadi pilihan segelintir kecil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, semua pihak harus menerima kenyataan dan tiada sesiapa harus mempertikaikan peruntukan mutlak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Mengenai bahasa Melayu, kedudukan agama Islam, kedaulatan raja-raja dan hak Melayu serta Bumiputera, tidak harus dipertikaikan.

“Malah, memperakui kontrak sosial antara semua kaum dan jaminan bahawa hak semua warganegara mengamalkan budaya mereka, agama mereka dan suku kaum akan tetap dipertahankan,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Hari Kebangsaan 2023 di hadapan lebih 6,000 hadirin serta secara langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri II, Dato Sri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali; dan barisan kabinet kerajaan Perpaduan.

Tegas Anwar, kerajaan Perpaduan akan mempertahankan hak setiap rakyat di bumi bertuah ini supaya muncul sebagai negara hebat serta gagah.

Justeru katanya, perhatian berterusan harus diberikan bagi mengelak daripada sebarang kemungkinan yang akan melemahkan semangat kejituan dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Jangan diremehkan perkara ini kerana ada negara yang hebat, muncul sebagai negara gagah dengan tamadun hebat, tetapi hancur bukan sahaja kerana tatakelola dan rasuah, malah dimainkan api perkauman serta fanatik agama.

“Lihat sahaja negara berkembang lain, malah negara maju, bahawa perbezaan itu boleh menjadi kekuatan dan perbezaan itu juga boleh merosakkan sendi masyarakat serta kekuatan negara.

Perdana Menteri menegaskan, beliau mahu menjadikan Malaysia sebagai negara Madani yang boleh mengangkat martabat semua rakyat.

Katanya, martabat itu hanya boleh diangkat sekiranya dasar dan hukum serta keterlanjuran itu boleh dihindari.

“Kita boleh buat pilihan untuk terus mengadu domba, syak wasangka, permusuhan politik dan kaum atau kita boleh memilih untuk menyatakan ‘sudahlah’.

“Jadi marilah kita gunakan dan memanfaatkan waktu ini untuk merangka strategi serta bekerja sedaya upaya,” katanya.

Justeru, sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66, Perdana Menteri mengajak semua rakyat memaknai erti sebenar jiwa dan fikiran yang merdeka.

Tegasnya, semua peringkat daripada pimpinan sehingga rakyat bawahan harus mendalami bahawa negara ini adalah amanah yang perlu dijaga sebaiknya.

BBerkaitan

Latest articles