Tiada Sesiapa Kebal Dengan Undang-undang, Termasuk Anak Saya – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Biar pihak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya dakwaan anaknya terlibat dengan kes ugutan jenayah terbukti benar.

Demikian tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail Ketika mengulas kes seorang lelaki yang dikaitkan anak kepada seorang Menteri yang didakwa melakukan ugutan jenayah.

“Anak saya tidak mengatasi undang-undang, kalau ada laporan ke atasnya, ia tanggungjawab polis untuk menyiasat setelusnya dan seadilnya.

“Merujuk kenyataan IGP (Ketua Polis Negara) sebelum ini, bahawa kertas siasatan sudah disempurnakan dan sudah diserahkan kepada (Pejabat) Peguam Negara.

“Biarkan proses mengambil tempat, prinsip yang saya pegang adalah semua kita tidak kebal undang-undang, tidak mengatasi undang-undang termasuk anak saya sendiri,” katanya ketika ditemui semasa Sesi Tinjauan Gate Kod QR MyBorderPass dan Sistem Smart Q di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.

Terdahulu, individu yang dikaitkan sebagai nak Saifuddin itu didakwa mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungannya yang berusia dua bulan.

Kejadian ugutan itu dilaporkan berlaku ketika anak menteri terbabit sedang berbincang bersama wanita itu dan beberapa saksi lain di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang, pada 24 Disember tahun lalu.

Baru-baru ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah berkenaan, dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Malah kertas siasatan sudah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Isnin lalu untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, tindakan itu sekaligus menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berkompromi atau melindungi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles