KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan tiada keperluan untuk melakukan sebarang rombakan Kabinet buat masa ini susulan peletakan jawatan dua menteri, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut Anwar, beliau menghargai segala sumbangan dan perkhidmatan yang diberikan Rafizi sepanjang menerajui Kementerian Ekonomi dan menegaskan keputusan mengenai pengganti atau penstrukturan semula kementerian akan diputuskan pada waktu yang sesuai.
“Saya fikir tidak ada keperluan untuk kita rombak apa-apa setakat ini dan saya ucap selamat maju jaya kepada Rafizi yang telah berkhidmat begitu baik sebagai Menteri Ekonomi,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Energy Asia 2025 hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut diminta mengulas berkenaan Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang turut mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 4 Julai depan.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa beliau memilih untuk mengambil pendekatan berhati-hati dan memberi ruang sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.
“Saya selalu tunggu, beri peluang, berfikir dan berkenan. Saya beri pandangan saya, kalau boleh teruskan khidmat. Tapi masih ada masa lagi sebelum tempoh (lantikan) beliau tamat,” katanya.
Menjawab spekulasi bahawa keputusan pengganti akan diumumkan esok, Anwar menafikan perkara tersebut dan menjelaskan tarikh berkaitan hanya akan dipertimbangkan sekitar awal Julai.
“Bukan esok kerana awal sangat. Saya periksa tarikh. Jadi kita beri ruang. Tak perlulah gopoh-gapah nak suruh terima sedangkan tarikhnya belum sampai. Lagipun kita perlukan khidmat yang baik,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun, disusuli oleh Nik Nazmi yang mengumumkan keputusan serupa tiga jam kemudian, berkuat kuasa 4 Julai.