Tiada Prima Facie, Mahkamah Lepas dan Bebaskan Yusoff Rawther Dari 2 Pertuduhan

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik politik, Muhammed Yusoff Rawther, daripada dua pertuduhan iaitu mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki pistol tiruan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu di akhir kes pendakwaan, sekali gus menamatkan perbicaraan tanpa tertuduh dipanggil membela diri.

Tertuduh, 32, sebelum ini didakwa atas kesalahan mengedar 305 gram kanabis di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.

Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Muhammed Yusoff turut berdepan pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara, pada hari dan tarikh sama. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan Panggil 13 Saksi, Termasuk Pegawai Serbuan dan Ahli Kimia

Dalam perbicaraan bermula 7 April lalu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman telah memanggil seramai 13 saksi, termasuk pegawai serbuan dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Inspektor Wan Muhammad Wan Ali; Pegawai Penyiasat Narkotik IPD Dang Wangi, Inspektor Muhammad Zuhairi Md Zuhir; dan ahli kimia Jabatan Kimia Malaysia, Harlisa Haidhir Harminder.

Pendakwaan menutup kes pada 28 April lalu dan turut menawarkan tujuh lagi saksi sekiranya tertuduh diperintah membela diri.

Bagaimanapun, selepas meneliti keseluruhan keterangan, mahkamah memutuskan tiada elemen mencukupi untuk meneruskan kes.

Kes berkaitan pengedaran kanabis itu sebelum ini dipindahkan dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi pada 12 November 2024.

BBerkaitan

Latest articles