KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, mengesahkan akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap pempengaruh media sosial, Caprice, selepas peluang untuk membuat penjelasan dan memohon maaf didakwa tidak diendahkan.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas berbincang dengan peguamnya susulan kandungan yang diterbitkan Caprice didakwa menuduh beliau mempunyai kepentingan dalam syarikat miliknya sendiri.
Menurut Rafizi, ruang secukupnya telah diberikan selama beberapa hari bagi membolehkan penjelasan dibuat kepada pengikut Caprice, termasuk peluang memohon maaf secara terbuka.
Namun, beliau mendakwa tiada sebarang tindakan diambil.
Justeru, proses saman akan diteruskan dan butiran lanjut berkaitan perkara lain akan diteliti satu persatu.
Mengulas dakwaan Caprice bahawa beliau sekadar “bertanya”, Rafizi menegaskan bahawa persoalan berbentuk sindiran atau tuduhan tersirat tidak boleh dijadikan alasan mempertahankan diri daripada tindakan undang-undang fitnah.
Katanya, konsep ‘innuendo’ dan ‘insinuation’ tetap tertakluk di bawah undang-undang sekiranya ia membentuk persepsi negatif atau mencemarkan reputasi seseorang.
Terdahulu, Caprice melalui peguamnya menghantar notis tuntutan kepada Rafizi, menggesa semua hantaran yang didakwa berunsur fitnah ditarik balik dan dipadamkan serta-merta, selain menuntut permohonan maaf sebelum jam 5 petang hari yang ditetapkan.
Notis itu turut menuntut agar sebarang kenyataan lanjut berbaur fitnah dihentikan.
Isu berkenaan tercetus susulan hantaran Rafizi di media sosial berhubung dakwaan melibatkan kontrak bernilai RM2.5 bilion kepada syarikat miliknya.
Caprice bagaimanapun menafikan pernah menyebut jumlah tersebut atau menggunakan istilah rasuah dalam videonya.
Dalam perkembangan sama, Rafizi turut menafikan wujud sebarang unsur rasuah dalam perjanjian kerajaan dengan sebuah syarikat semikonduktor yang kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tegas beliau, untuk membuktikan rasuah, mesti ada elemen pemberi, penerima serta campur tangan, dan menurutnya, ketiga-tiga elemen itu langsung tidak wujud dalam kes berkenaan.










