Tiada Permintaan Daripada Amirudin Supaya DUN Selangor Bubar

KUALA LUMPUR: Pertemuan antara Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Sultan Selangor pada dua hari lalu tidak membincangkan usul kerajaan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini.

Sebaliknya, Amirudin berhasrat untuk meneruskan pentadbiran kerajaan negeri, demikian menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Muhamad Munir Bani.

“Baginda Sultan Selangor mengambil maklum akan kedudukan ini dan mengharapkan agenda pembangunan Negeri Selangor yang telah dirancang dapat diteruskan demi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mendapati beberapa kenyataan yang kurang tepat di akhbar dan media sosial berhubung keputusan kerajaan negeri Selangor tidak membubarkan DUN Selangor bagi mengadakan pilihan raya pada tahun ini.

Pada 11 Oktober lalu, Amirudin memaklumkan bahawa Selangor kekal dengan pendirian tidak akan membubarkan DUN.

Malah katanya perkara itu turut mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika beliau hadir mengadap baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

“Perbincangan saya bersama Sultan Sharafuddin adalah pertemuan lazim melibatkan pelbagai perkara yang perlu diselesaikan sebelum pembubaran DUN. Ia antaranya berkaitan soal pembangunan, banjir, bajet dan Rancangan Selangor Pertama.

“Maka dengan itu, PH Selangor kekal dengan keputusan tidak membubarkan DUN pada tahun ini,” katanya dipetik sebagai berkata.

BBerkaitan

Latest articles