Tiada Pergolakan Dalaman Bila Rahman Tarik Diri Kata Zahid

KOTA BELUD: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa tiada sebarang pergolakan dalaman berlaku dalam Barisan Nasional (BN) susulan penarikan diri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan daripada bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17.

Menurut Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan Rahman menarik diri dibuat dengan penuh pertimbangan dan demi memberi ruang kepada generasi muda.

“Benar, pada peringkat awal tawaran diberikan kepada Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, tetapi beliau menarik diri pada saat akhir kerana beliau berpendapat peluang harus diberikan kepada anak muda.

“Oleh itu, Azuwan Marjan diputuskan UMNO Sabah untuk diketengahkan sebagai calon ADUN Tempasuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Lindung Kerjaya MYFutureJobs @ Kota Belud Sabah di sini pada Ahad.

Zahid turut merakamkan penghargaan atas sikap ‘hati besar’ Rahman yang rela melepaskan peluang tersebut demi calon muda.

“Rahman bukan sahaja berhubung dengan saya, malah bertemu sendiri untuk menyatakan hasrat menarik diri.

“Dua hari lalu pun beliau bersama saya di Tuaran bersama calon BN lain. Semalam juga beliau mengiringi calon BN pada hari penamaan calon,” katanya.

Beliau menegaskan sekali lagi bahawa tiada isu dalaman, sebaliknya Rahman terus komited menyokong parti dan jentera BN di Tempasuk serta kawasan sekitar.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa kerajaan pusat komited memperluas peluang pekerjaan di Sabah, khususnya buat golongan muda.

Katanya, penubuhan Institusi Kemahiran GIATMARA di Kota Belud sedang dirancang bagi menyediakan latihan kemahiran dan mengurangkan kadar pengangguran.

“Sebanyak 54 peratus penduduk Sabah terdiri daripada belia, tetapi negeri ini mencatat kadar pengangguran belia tertinggi dengan 71.1 peratus masih belum memiliki pekerjaan. Kerajaan komited untuk mengubah keadaan ini,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles