Tiada Perbincangan Soal Jawatan TKM, Tekad Menangi Dan Bawa Bertam Kembali Dalam Penguasaan Umno dan BN – Reezal Merican

Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan soal jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang tidak dibincangkan di peringkat parti.

Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata demikian ketika ditanya adakah beliau akan dilantik ke jawatan tersebut jika BN bersama Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), lapor FMT.

Sebelum ini media melaporkan Reezal antara pemimpin Umno yang dikaitkan dengan jawatan nombor dua itu.

Dalam pada itu, Reezal berkata beliau dalam misi tebus semula kekalahan di Parlimen Kepala Batas pada PRU15 lalu.

“Saya mahu menebus kekalahan sejak lapan bulan lalu dengan merampas Bertam dan membawa kerusi ini kembali dalam penguasaan Umno dan BN,” katanya.

Dalam pada itu, Tambah Reezal lagi beliau mahu meneruskan legasi bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang dekat di hati rakyat di Bertam.

Katanya beliau akan kekal “buta warna” apabila membantu rakyat dan dalam semua perancangannya untuk membangunkan kawasan itu.

“Kalau nak bantu rakyat, saya buta warna. Ini yang Pak Lah (Abdullah Badawi) selalu ajar saya.

“Dan di kawasan itu, saya akan teruskan apa yang Pak Lah lakukan sebelum ini,” katanya kepada pemberita dalam satu wawancara hari ni.

Reezal juga berjanji akan menjadikan Bertam dan kawasan itu sebagai kawasan yang sangat sesuai untuk didiami dan menarik orang luar untuk datang dan tinggal di sini.

Beliau memetik beberapa projek pembangunan seperti pusat belia dan melaksanakan projek perumahan bukan sahaja untuk golongan berpendapatan M40 tetapi juga golongan berpendapatan B40 serta golongan T20 ketika beliau memegang kerusi parlimen itu.

“Jika kita bandingkan Bertam 30 tahun lalu dan sekarang, ia sama sekali berbeza dan saya rasa saya telah diberi peluang kedua untuk meneruskan legasi Pak Lah,” katanya.

Reezal juga menekankan kepentingan mempunyai rakan kongsi dan wakil Umno yang boleh dipercayai dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Ini akan menjadi peluang untuk memberi Umno perjuangan baharu untuk rakyat Pulau Pinang di bawah kerajaan negeri,” katanya.

Walaupun beliau mengakui pentingnya melibatkan golongan muda dan pengundi kali pertama di media sosial, pada masa yang sama beliau akan terus melibatkan diri secara satu lawan satu untuk mencapai seramai mungkin pengundi sepanjang tempoh berkempen.

“Bagi mereka dalam kumpulan umur yang lebih tua, mereka lebih suka interaksi bersemuka dan kami akan melakukan ini juga. Jadi ia mestilah pendekatan hibrid dan seimbang,” katanya.

Pada PRU15 lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) dari PAS, Siti Mastura Mohamad dengan majoriti 2,867 undi.

Pada PRN 12 Ogos ini, Reezal bakal berdepan bekas Adub Bertam, Khaliq Mehtab Ishaq dari Bersatu yang mewakili PN

BBerkaitan

Latest articles