Tiada Manfaat, Penganjuran Konsert Coldplay Perlu Dihentikan

KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah hari ini menggesa penganjur tidak meneruskan konsert kumpulan Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil, 22 November ini.

Ini kerana konsert sedemikian disifatkan melalaikan dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini.

Dr Luqman juga berkata, kumpulan muzik berkenaan dikaitkan dengan kumpulan tidak bermoral yang mempromosikan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Kami juga menasihatkan masyarakat agar tidak memberi sokongan kepada program ini yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai murni dan budaya masyarakat di negara ini.

“Bagi masyarakat Islam, perlu difahami hiburan dalam Islam ada batasannya yang perlu dipatuhi dan mana-mana jenis hiburan yang terkeluar daripada batasan ini adalah bertentangan dengan hukum syarak,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sebelum ini, pandangan yang sama telah diberikan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.

Abdul Rahman menegaskan, konsert Coldplay wajar diharamkan berikutan sokongan kumpulan rock alternatif British itu kepada golongan LGBT.

Zamri pula menyifatkan penganjuran konsert tersebut tidak menghormati kesedihan dan perasaan simpati terhadap umat Islam di Palestin.

BBerkaitan

Latest articles