Tiada Larangan Ebit Lew Laksana Misi Bantuan, Kata Masidi

Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada pendakwah bebas, Ebit Lew untuk melaksanakan kerja-kerja kebajikan.

Perjara itu dimaklumkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dengan berkata, beliau sudah menyemak perkara ini dengan polis dan juga Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang mengesahkan tiada sebarang larangan dikeluarkan.

Namun Masidi menambah, kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) masih berada dalam penguatkuasaan perintah berkurung dari 6 petang sehingga 6 malam.

“Ada risiko keselamatan yang perlu diambil kira. Pihak keselamatan juga memandang berat isu ini kerana mereka tidak mahu orang awam menjadi sasaran kepada sebarang cubaan perlakuan jenayah di perairan tersebut,” katanya ketika ditanya mengenai kerja-kerja pengagihan bantuan Ebit Lew di pulau-pulau di Semporna yang terpaksa dihentikan semalam.

Masidi berkata, di bawah kerajaan, tiada larangan untuk sesiapa pun yang ingin menjalankan kerja-kerja kebajikan.

Bahkan PDRM Sabah juga mengalu-alukan individu persendirian dan syarikat swasta yang ingin melaksana kebajikan untuk memberikan bantuan dan makanan.

Namun, pelaksanaan kerja kebajikan perlu dibuat di luar waktu yang dilarang di kawasan Pantai Timur.

“Saya harap kenyataan ini dapat memberi penjelasan kepada andaian seolah-olah kerajaan mengenakan larangan untuk beliau (Ebit) membuat kerja kebajikan.

“Di pihak kerajaan, kita amat menghargai apa yang dilakukan Ebit Lew tetapi pelaksanaan kerja kebajikan perlu dilakukan dalam tempoh dibenarkan,” jelasnya.

Terdahulu dalam satu perkongsian di Facebooknya, Ustaz Ebit menyatakan, tidak dibenarkan masuk ke pulau-pulau di Semporna dan kerja agihan bantuan diminta untuk diberhentikan.

Katanya, hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun boleh dikenakan ke atasnya.

Dengan larangan itu, beliau terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang dirancang di Pulau Tatagan, Semporna.

BBerkaitan

Latest articles