Tindakan Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Imigresen yang melakukan ‘pembersihan’ warga asing di Pasar Borong Kuala Lumpur harus dipuji ramai pihak.
Kini pasar yang sering menjadi tumpuan mereka yang berada di sekitar kawasannya menjadi semakin bersih, selamat malah pelanggan juga berasa selesa.
Suasananya juga berbeza, tampil bersih dan teratur apatah lagi tiada lagi pemandangan warga asing yang menjaja di kaki jalan sehingga menyebabkan timbunan sampah sarap.
Pengunjung, Mohd Hasmizal Asmi, yang ditemui mengakui suasana Pasar Borong Kuala Lumpur kini jauh berubah daripada sebelum ini apabila keadaannya lebih bersih dan teratur.
“Dulu banyak kelihatan longgokan sampah sarap termasuk lebihan sayuran rosak, lantai di sini kotor dan merah kerana dipenuhi dengan ‘air ludah sirih’ warga asing tetapi sekarang keadaan di sini amat bersih.
“Jika dahulu tempat ini dipenuhi dengan warga asing dan membuatkan kita rasa tidak selesa, namun keadaan kini amat berbeza, memang susah nak nampak kelibat mereka,” katanya beliau yang juga seorang peniaga pasar mini di Nilai, Negeri Sembilan.
Memetik laporan BH, seorang lagi pengunjung, Haslinda Hassan, mengakui sebelum ini tidak gemar membeli barangan di Pasar Borong Kuala Lumpur kerana suasananya yang tidak selamat, kotor dan dipenuhi warga asing walaupun harga barangan di sini jauh lebih murah berbanding pasar borong lain.
“Ini berdasarkan pengalaman yang dikongsikan beberapa rakan yang berurusan di pasar ini apabila kereta mereka dipecah masuk di tempat parkir, tayar kereta dipancitkan dan ada yang diugut warga asing.
“Ini menyebabkan kita rasa tidak selamat namun suasana amat berbeza sekarang kerana bukan sahaja pasar ini kelihatan bersih dan teratur malah pelanggan rasa selamat dan selesa,” kata beliau yang juga seorang pekedai Pertubuhan Peladang di Batu 14, Hulu Langat.