PETALING JAYA: Polis menerima keputusan keputusan Dewan Rakyat, menolak usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA), selepas 31 Julai 2022.
Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dengan keputusan tersebut maka tiada lagi kuasa penahanan selama 28 hari ke atas individu-individu yang ditahan bagi siasatan melibatkan kes-kes keselamatan bersifat kompleks seperti berikut;
- Kes tersebut adalah kesalahan di bawah bab VI (kesalahan terhadap negara)
- Kesalahan di bawah bab via (kesalahan berkaitan keganasan)
- Kesalahan di bawah bab VIB (kesalahan jenayah terancang)
- Kesalahan di bawah Bab IIIA akta antipemerdagangan orang dan antipenyeludupan migran 2007
- Akta langkah-langkah khas menentang keganasan luar negara 2015.
Bagaimanapun Acryl berkata, kes melibatkan kesalahan di bawah SOSMA yang disiasat selepas 31 Julai 2022, akan menggunakan peruntukan di bawah mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
“PDRM kekal komited bagi menjalankan siasatan sebaik mungkin, dengan menggunakan akta-akta sedia ada yang masih berkuatkuasa,” katanya.
Dewan Rakyat SEMALAM gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuatkuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi.
Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagi menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 tidak menyokong, selain 50 yang tidak hadir.