Tiada lagi monopoli Touch ‘n Go di lebuh raya

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak lama lagi akan membenarkan orang ramai membayar tol lebuh raya menggunakan mana-mana penyedia pembayaran digital, bukan hanya Touch ‘n Go.

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada kadar penembusan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang memuaskan dan kesediaan syarikat konsesi lebuh raya menghubungkan penyedia tambahan bayaran dalam talian.

Beliau juga berkata, syarikat konsesi terbabit telah diarahkan untuk bersedia melaksanakan Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) menjelang 2025.

MLFF adalah sistem tol tanpa penghalang, pondok tol dan laluan khusus. Ia menggunakan struktur gantri yang dilengkapi dengan pengecaman nombor plat secara automatik (ANPR) di lokasi tertentu.

“Tidak lama lagi, ia terpulang kepada orang ramai untuk menggunakan mana-mana kaedah pembayaran digital – sama ada anda mahu guna e-wallet Touch ‘n Go atau kad debit, kad kredit, Visa, Mastercard atau mana-mana sistem pembayaran (elektronik) selagi tersedia di lebuh raya (tertentu),” katanya dengan menambah bahawa hanya satu tag RFID sahaja diperlukan untuk tujuan itu.

Dalam temu bual eksklusif dengan Portal FMT, Fadillah mengesahkan bahawa kad Touch ‘n Go untuk pembayaran tol akan ditamatkan pada 2025 dan laluan Smart Tag akan dimansuhkan secara berperingkat.

Dianggarkan terdapat lebih 20 juta kad Touch ‘n Go dalam edaran yang mewakili hampir 91% transaksi di 31 lebuh raya di seluruh negara.

Menteri itu juga berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berusaha untuk memudahkan orang ramai menerima kaedah pembayaran secara dalam talian.

“Kita mendengar permintaan orang ramai untuk membuka lebih banyak (pembayaran dalam talian) dan kita sedar dengan rungutan orang ramai bahawa mereka perlu membayar lebih awal untuk Touch ‘n Go sama ada menggunakan (lebuh raya) atau tidak,” katanya. “Kita perlu mengimbangi semua ini (isu).”

Beliau berkata, syarikat konsesi lebuh raya telah diberitahu untuk bersedia bagi pelaksanaan MLFF.

“Jika kita rasa akan ada sedikit kelewatan oleh beberapa syarikat konsesi lebuh raya, kita mungkin mempertimbangkan model pelaburan swasta atau inisiatif kewangan swasta untuk mengambil alih (sistem MLFF),” tambahnya.

“Model pelaburan swasta adalah untuk sistem terbuka. Seperti yang anda lihat, terdapat banyak lebuh raya di negara ini dan semua sistem perlu disepadukan. Jika kita lihat di Singapura dan Taiwan, mereka mempunyai kawalan pihak berkuasa tunggal (terhadap sistem itu).”

Fadillah berkata, sistem MLFF adalah faktor utama dalam pelan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) untuk rangkaian lebuh raya masa hadapan.

“Peringkat perintis ANPR sedang dijalankan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS),” katanya.

“Kita juga sedang mengkaji cadangan untuk perkongsian awam-swasta atau PFI, tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan syarikat konsesi LEKAS dan satu lagi projek perintis di Lebuhraya Besraya tidak lama lagi.”

Mengakui pelaksanaan RFID mengalami kelewatan beberapa tahun daripada jadual sepatutnya, Fadillah menegaskan terdapat beberapa elemen yang perlu dimuktamadkan oleh LLM sebelum melancarkan MLFF secara besar-besaran.

“Kita perlu melihat aspek peraturan, prosedur penguatkuasaan, pembangunan prasarana, kadar penembusan RFID dan pelan komunikasi untuk pelaksanaan MLFF,” tambahnya. – FMT

BBerkaitan

Latest articles