Untuk mengelakkan konflik parti di masa akan datang, Bersatu mengambil keputusan untuk memansuhkan jawatan Pengerusi yang sebelum ini disandang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata demikian ketika ditanya apakah jawatan itu akan dikekalkan selepas ini.
“Ya, insya-Allah (jawatan pengerusi akan ditiadakan) sebab kita sudah nampak masalahnya.
“Kapal perlu ada seorang nakhoda saja (there must be one captain in a ship). Jawatan itu akan dilupuskan,” katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.
Beliau memberitahu satu mesyuarat akan diadakan untuk mengusulkan cadangan pemansuhan jawatan pengerusi itu, namun tidak meletakkan tempoh masa tertentu untuk ia dimuktamadkan.
Ditanya sama Bersatu goyah dengan kewujudan parti baru yang diasaskan Dr Mahathir, Redzuan berkata parti melihat perkembangan itu sebagai usaha untuk menguatkan kembali Bersatu yang dilanda masalah sejak kebelakangan ini.
“Kita tak nak pecah-belahkan kesatuan ahli-ahli Bersatu. Kita perlu jelaskan kepada orang yang nak tinggalkan Bersatu dan ini cabaran berat sebab kita akan ambil masa supaya mereka faham bawah kepemimpinan presiden (Muhyiddin).
“Bersatu diasaskan oleh Muhyiddin. Tun M (Mahathir) ketika itu dijemput sebagai ahli dan beliau mahu jadi penasihat.
“Tapi oleh hemah kita sebagai pimpinan tertinggi, saya sebagai salah seorang pengasas parti, memberi laluan untuk seorang negarawan agar dimasukkan ke perlembagaan satu jawatan yang kita panggil sebagai pengerusi.
“Ini kita tahu masalahnya kalau kita ada satu kapal dua nakhoda… inilah yang kita hadapi,” katanya.
Jumaat lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru yang dikatakan membawa semangat politik yang sama seperti Bersatu, iaitu memperjuangkan kaum Melayu dan Bumiputera.
Bagaimanapun parti itu mahu menjadi bebas, iaitu tidak terikat dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).