SEREMBAN: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini mengumumkan secara rasmi berundur secara rasmi di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Menteri Kesihatan itu memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, seperti yang dicanangkan sebelum ini.
Khairy, yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau membuat pengumuman tersebut secara hati ke hati ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau, hari ini.
Ketika diminta mengulas pengumuman itu, Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata, BN akan berusaha mendapatkan kerusi Parlimen yang sesuai untuk Khairy kerana beliau merupakan pemimpin muda yang berkaliber.
“Kita tak mahu bakat beliau itu hilang begitu sahaja.
“Kita cuba cari tempat yang sesuai untuk beliau bertanding pada PRU15,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut.
Sebelum ini, isu itu hangat diperkatakan selepas Mohamad mengumumkan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau yang disandang Khairy selama tiga penggal sejak PRU12.
Timbul spekulasi tentang kerusi-kerusi Parlimen yang mungkin ditandingi Khairy termasuk Port Dickson, Tampin dan Putrajaya.
Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN bersyukur kerana soal calon kerusi Parlimen Rembau dapat dibincangkan dalam semangat kekeluargaan.
“Kami ni beradat, kami beradat dalam terang,” jelasnya.
Beliau menambah, langkah seterusnya adalah menggerakkan jentera parti di Rembau bagi menghadapi PRU15.