Tiada Kompromi Dasar Utama Negara Dalam Rundingan Perdagangan Termasuk Tarif AS

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan mengorbankan sebarang dasar utama negara termasuk hak bumiputera, vendor tempatan serta perlindungan sektor strategik dalam mana-mana rundingan perdagangan, termasuk isu tarif timbal balik yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kajian terhadap halangan bukan tarif (Non-Tariff Barriers, NTB) hanya akan melibatkan peraturan yang lapuk dan tidak lagi relevan, dan sebarang perubahan akan dibuat melalui proses kerajaan yang telus serta inklusif.

“Tiada dasar utama akan dikompromi. Ini termasuk hak istimewa bumiputera, keperluan vendor tempatan dan perlindungan sektor strategik negara. Kajian yang dijalankan hanya untuk memperkemas peraturan agar lebih relevan dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya semasa sidang khas Parlimen hari ini.

Sidang khas itu diadakan bagi membahaskan tindakan AS yang mengenakan tarif timbal balik terhadap eksport barangan dari lebih 75 negara termasuk Malaysia.

Meskipun pentadbiran AS telah menangguhkan sebahagian tarif selama 90 hari, kadar asas sebanyak 10 peratus masih dikekalkan.

Menurut Anwar, kerajaan kini berada pada landasan kukuh dalam mendepani tekanan global dengan asas ekonomi yang stabil hasil pelaksanaan dasar-dasar di bawah rangka Ekonomi Madani.

“Reformasi struktur ekonomi yang sedang dilaksana akan membantu negara menjadi lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi ketidaktentuan global,” jelas beliau.

Anwar turut menyatakan kerajaan komited mempercepat pelaksanaan agenda pembaharuan termasuk Transformasi Digital, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NTER) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk meningkatkan daya saing jangka panjang negara.

Mengulas lanjut mengenai tindakan AS, Anwar menegaskan kerajaan mengambil serius langkah tersebut dan akan menanganinya dengan pendekatan pragmatik berteraskan kepentingan negara.

“AS merupakan destinasi eksport utama dan sumber pelaburan asing terbesar negara. Sebarang cabaran perdagangan mesti diurus secara bijaksana, tanpa menjejaskan hubungan baik yang telah terjalin,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa Malaysia kini agresif meneroka pasaran baharu termasuk BRICS dan GCC, yang menunjukkan hasil positif dalam pengukuhan jaringan perdagangan antarabangsa negara.

Sidang khas hari ini diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11(3) bagi membincangkan isu mendesak yang memberi kesan besar kepada rakyat dan ekonomi negara.

BBerkaitan

Latest articles