KUALA NERUS: Meskipun menyedari cabaran besar menanti dalan Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang, PAS konsisten menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengulangi pendirian parti itu tidak akan berkompromi dan memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PH.
“Setakat yang saya faham, PAS sangat konsisten dengan pendirian iaitu untuk tidak bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU-15.
“Kita (PAS) akan mengutarakan pandangan dan ketegasan untuk tidak bersama mereka (PH) jika ada perbincangan bersama Perikatan Nasional (PN),” katanya selepas majlis pelepasan Kembara Merdeka Beret Hijau Siri 2/2022 di Dataran Muara Utara, hari ini.
Respon itu merujuk kepada kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN jika masing-masing sepakat musuh utama dalam PRU-15 adalah Barisan Nasional (BN).