GEORGE TOWN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat enggan lagi mengadakan kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kali ini menerusi Gerakan Tanah Air (GTA), pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kerjasama apa? Bila saya kata (terbuka untuk bekerjasama dengan GTA)? Saya kata untuk berbincang dengan sesiapa pun boleh ‘bincang’. Kalau diperlukan (berbincang) hari ini saya ada di Pulau Pinang, lusa di Sarawak.
“Bagi saya lebih baik menemui rakyat dalam keadaan sekarang ini. Usul adakan pertemuan itu, seolah-olah belum ada pertemuan, (sedangkan) berpuluh kali sudah ada pertemuan sebelum ini,” katanya kepada pemberita malam tadi.
Beliau ditemui selepas menghadiri program makan malam Majlis Pimpinan Negeri PKR di Spice Arena, yang turut dihadiri Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Penaja GTA Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia bertemu Anwar, bagi mengadakan rundingan untuk kerjasama menghadapi PRU15.
Ketika ditanya sama ada beliau menerima permohonan untuk berjumpa daripada pihak Dr Mahathir, Anwar enggan mengulas lanjut.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata beliau tiada masalah bertemu dan berbincang dengan Dr Mahathir, namun menegaskan perkara yang ditekankan PH ialah berkenaan kepentingan untuk melawan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).