Tiada Keperluan Untuk Pendaftaran, Pelesenan Basikal Buat Masa Ini

Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa tiada perancangan dipihaknya untuk melaksanakan pendaftaran dan pelesenan setiap basikal di negara ini termasuk meletakkan nombor plat seperti yang dilakukan terhadap kenderaan bermotor.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata sehingga kini perkara itu tidak pernah dibangkitkan di peringkat kementeriannya.

“Banyak lagi faktor perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh MOT bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki.

“Setakat ini, sebarang komen yang dibuat oleh Miros (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) sebagaimana yang dilaporkan media hari ini tidak menjadi dasar sehinggalah melalui pelbagai proses seterusnya mendapat kelulusan menteri,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Wee juga berkata, agensi di bawah kementeriannya akan membuat kajian terperinci atau cadangan untuk dianalisis dan pertimbangan pengurusan kanan kementerian termasuk pejabat menteri sebelum proses dimulakan bagi melaksanakan apa-apa dasar bawah bidang kuasa MOT, dan semua pengumuman polisi pramatang adalah dilarang tanpa persetujuan menteri.

“Dari segi keselamatan penunggang basikal, MOT melalui JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) terus mempromosikan program advokasi keselamatan dengan penggemar sukan berbasikal dan persatuan berkaitan secara berterusan, begitu juga dengan semua pengguna jalan raya lain.

“Program berkaitan keselamatan ini juga akan dibincangkan dan dikemas kini semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya yang akan diadakan bulan ini,” katanya.

Dalam masa yang sama Wee menasihatkan kesemua penunggang atau penggemar sukan berbasikal supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya seperti peraturan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu sebuah akhbar melaporkan untuk setiap basikal di negara ini dudaftarkan dan dilesenkan serta diletakkan nombor plat seperti kenderaan bermotor yang lain untuk menjaga keselamatan penunggang basikal dan mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,792FollowersFollow
20,800SubscribersSubscribe

Terkini