Tiada Keperluan Tutup Sektor Ekonomi, Industri Di Sebalik Peningkatan Kes Harian COVID-19

BANGKOK: Kerajaan tetap bertegas untuk tidak menutup sektor ekonomi dan industri walaupun kes positif harian COVID-19 di Malaysia sejak kebelakangan ini mencatatkan peningkatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat Malaysia perlu untuk hidup bersama COVID-19 selepas dua tahun melawan penularan virus itu.

“Walaupun kes COVID-19 meningkat mencecah 30,000 kes, kes (COVID-19) berada dalam kategori empat dan lima adalah kurang daripda satu peratus.

“Kita tidak akan menutup sektor ekonomi… sebaik sahaja kita dah buka, kita akan buka seterusnya,” katanya pada majlis perjumpaan bersama Keluarga Malaysia yang dihadiri kira-kira 100 rakyat Malaysia termasuk pelajar di sebuah hotel ri Bangkok, semalam.

Hadir sama ialah Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.

Malah Ismail Sabri melahirkan keyakinan bahawa Malaysia boleh membuka semula sempadan antarabangsanya tidak lama lagi berdasarkan kadar vaksinasi yang tinggi.

“Kita akan buka sempadan tidak lama lagi. Sekarang kita dalam proses menyakinkan rakyat kita bahawa jangkitan luar tidak boleh membahayakan. Rakyat Malaysia yang sudah lama tidak balik, bolehlah balik. Kita akan umumkan bila kita akan buka (sempadan),” katanya.

Sehingga kini Malaysia telah mewujudkan Laluan Perjalanan Vaksinasi Darat (VTL) dengan Singapura, manakala VTL antara Malaysia-Brunei dijangka bermula Mac 1, dan Malaysia-Indonesia dijangka tidak lama lagi.

“Bagi Thailand, kita akan mewujudkan VTL…. Kalau boleh (wujudkan VTL), kita boleh buka (sempdan) segera,” katanya.

Ismail Sabri tiba di Bangkok sejak dua hari lalu untuk lawatan rasmi tiga hari atas jemputan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha.

Dianggarkan 5,000 hingga 6,000 rakyat Malaysia sama ada yang belajar atau bekerja di Bangkok, namun hanya 1,018 rakyat Malaysia termasuk 40 pelajar melanjutkan pengajian di universiti-universiti di sekitar sini yang berdaftar secara rasmi dengan pihak kedutaan.

Sehubungan itu, Jojie menggalakkan semua rakyat Malaysia yang berada di Thailand untuk mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok ataupun Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

BBerkaitan

Latest articles