Tiada Keperluan Isytihar Harta, Ia Bukan Syarat Wajib Calon Bertanding – Ismail Sabri

BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pengisytiharan harta bukan syarat wajib bagi mana-mana calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.

Namun, Ismail Sabri berkata bagi ahli parlimen yang dilantik dalam kabinet akan diwajibkan berbuat demikian, sebaliknya terpulang kepada pendirian masing-masing.

“Tidak perlu (isytihar harta) kerana kita hanya buat perkara yang termaktub dalam akta yang ditetapkan.

“Apabila sudah menang nanti Ahli Parlimen juga diminta untuk isytihar harta dulu tetapi tidak semua mengisytiharkan harta kerana tiada keperluan.

“Ahli Parlimen boleh berniaga tetapi Menteri, Timbalan Menteri wajib isytiharkan harta,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Bera, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mengisytiharkan hartanya, Ismail Sabri berkata, apa yang dilakukan Rafizi adalah keputusannya sendiri dan kini sudah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, katanya, Rafizi mungkin akan disiasat mengikut Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) susulan pengisytiharan harta yang dibuat.

“Ada yang menjadikan isu ini sebagai modal politik untuk menjadi perangkap kepada mereka yang tidak turut berbuat perkara sama,” katanya.

Terdahulu, Rafizi Ramli yang juga Timbalan Presiden PKR, menjadi tumpuan umum selepas mengisytihar harta sebanyak RM18.85 juta mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

Pengisytiharan harta itu menjadi syarat wajib bagi calon PH dari Parti Keadilan Rakyat yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

 

BBerkaitan

Latest articles