More

    Tiada Keperluan Isytihar Darurat, Titah Agong

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia buat masa ini.

    Titah baginda, kerajaan sekarang boleh dipercayai untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung Covid-19.

    Seri Paduka bertitah demikian setelah selesai bermesyuarat Raja-Raja Melayu di Istana Negara yang bermula sejak jam 2.30 petang tadi.

    “Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

    “Seri Paduka amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak.

    “Al-Sultan berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.”

    Menurut Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsudin, Al-Sultan Abdullah juga mengingatkan kesemua pemimpin politik di negara ini untuk tidak bermain persepsi yang akan mengundang ketidakteraman di kalangan rakyat dan negara.

    “Kendati pun begitu Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicing yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara,” memetik kenyataan itu lagi.

    Dalam masa yang sama Seri Paduka juga berpendapat bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan pada bulan hadapan adalah penting dalam usaha menangani pandemik ini dan memulihkan ekonomi negara.

    Sejak Jumaat lalu, ura-ura bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin bakal melaksanakan darurat politik susulan mesyuarat kabinet khas yang diadakan pada hari itu, yang membawa kepada sesi menghadap antara pemimpin itu dan Yang di-Pertuan Agong.

    Ramai pemimpin politik pembangkang mendakwa usaha itu sebagai tindakan Muhyiddin hendak mempertahankan pentadbirannya kerana gusar pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan pada November ini tidak mendapat sokongan majoriti.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini