More

    Tiada Keperluan Bubar Parlimen Buat Masa Ini – Annuar Musa

    Tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Rakyat sekaligus mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat, demikian menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

    Ujarnya kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini berada dalam keadaan baik dibantu dengan barisan kabinetnya.

    “Pada saya buat masa ni tak berbangkit soal bubarkan parlimen sebab kita dah ada perdana menteri.

    “Kita sudah ada kerajaan dan tak timbul soal ketidakstabilan. Saya tengok kerajaan kini adalah mantap,” katanya kepada media selepas merasmikan Pameran Kartun: Kartunis vs Covid-19 di Rumah Kartun dan Komik Malaysia, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur hari ini.

    Reaksi itu menyusul selepas Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hasan menggesa Muhyiddin menyegerakan PRU kerana dilihatnya negara mengalami ketidakstabilan politik.

    Mohamad turut mencadangkan kerajaan agar mengambil contoh langkah diambil Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang membubarkan Parlimen republik itu bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan pada 10 Julai ini.

    Annuar berkata cadangan dilontarkan Mohamad semalam adalah pandangan peribadi bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

    Malah beliau memaklumkan Umno hingga kini tidak mengadakan sebarang perbincangan baru mengenai perkara tersebut.

    “Sebenarnya Umno tak buat apa-apa perbincangan mengenai pembubaran parlimen. Tapi kami pernah buat perbincangan tersebut sewaktu Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri interim.

    “Kita juga perlu memilih seorang perdana menteri selepas Mahathir melepaskan jawatannya ketika itu kerana berpandangan parlimen perlu dibubar bagi membentuk kerajaan baru,” katanya.

    Annuar turut menambah bahawa ketika ini kerajaan wajar menumpukan sepenuh perhatian bagi menyelesaikan masalah rakyat.

    “Saya rasa rakyat mungkin keletihan dengan orang politik asyik cakap politik tapi masalah mereka begitu banyak belum selesai dari sekecil-kecil isu gelandangan, perumahan, ramai hilang pekerjaan, perniagaan dan sebagainya,” katanya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini