Peguam bela bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berhujah bahawa tiada keperluan mengadakan Pilihan Ray Negeri (PRN) Sabah, apatah lagi di kala negara sedang dilanda wabak Covid-19.
Malah beliau turut membangkitkan tempoh lima tahun penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang hanya akan berakhir pada tahun 2023, termasuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang hanya berlangsung dua tahun lalu.
“Kenapa perlu PRN ketika kita masih sedang bergelumang dengan pandemik Covid-19? Sedangkan tempoh lima tahun hanya tamat pada 2023,” soalnya di hadapan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian dalam prosiding permohonan menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Sabah berkaitan pembubaran DUN di Mahkamah Persekutuan, semalam.
Firoz yang juga mewakili 32 wakil rakyat Sabah yang lain turut mendakwa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak mempunyai hak untuk menasihati Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN pada 29 Julai lali.
“Musa telah mengemukakan akuan berkanun 33 Adun kepada Istana dan berkumpul untuk menemui TYT pada tarikh yang sama namun malam itu Shafie pula telah menemui Gabenor terlebih dahulu.
“Pada keesokan harinya, TYT telah tandatangani surat pembubaran tersebut. Sepatutnya TYT menggunakan budi bicara beliau setelah mendapati Shafie yang menemui pada hari itu tiada lagi sokongan majoriti Adun.
“Ini adalah perkara yang melibatkan isu perlembagaan, patutnya TYT guna budi bicara seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan bukannya sekadar main peranan sebagai penanda tangan cop mohor sahaja,” tegasnya.
Untuk rekod pada 21 Ogos lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan semakan kehakiman oleh pihak-pihak ini kerana keputusan TYT tidak boleh di adili dalam mahkamah.
Beliau merujuk kepada kejadian tahun 1986 dimana TYT ketika itu Adnan Robert membenarkan pembubaran DUN dalam tempoh setahun selepas PRN sebelum itu selepas mendapat permohonan daripada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Prosiding akan bersambung pada hari ini untuk menentukan keputusan berhubung pembubaran DUN Sabah.